Nazarat fi Risalah Ta’alim
Oleh: Muhammad ‘Abdullah Al-Khatib
Rukun Kesembilan– Ukhuwwah
AL-IMAM ASY-SYAHID BERKATA:
“YANG SAYA MAKSUDKAN DENGAN UKHUWWAH (PERSAUDARAAN) IALAH: HATI DAN JIWA TERIKAT DENGAN IKATAN AQIDAH. AQIDAH MERUPAKAN IKATAN YANG PALING KUKUH DAN BERNILAI. UKHUWWAH ADALAH SAUDARA IMAN, SEMENTARA PERPECAHAN PULA ADALAH SAUDARA KUFUR. KEKUATAN YANG PERTAMA IALAH KEKUATAN PERPADUAN DAN TIDAK ADA PERPADUAN TANPA KASIH SAYANG. DARJAT KASIH SAYANG YANG PALING RENDAH IALAH KESEJAHTERAAN JIWA TERHADAP SAUDARA SEISLAM DAN DARJAT YANG PALING TINGGI IALAH MENGUTAMAKAN ORANG LAIN DARI DIRI SENDIRI. FIRMAN ALLAH:
MAKSUDNYA: “DAN SESIAPA YANG DIPELIHARA DARI KEBAKHILAN DIRINYA, MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG BERUNTUNG“.
AL-AKH YANG BENAR, MERASAKAN SAUDARANYA LEBIH UTAMA DARI DIRINYA SENDIRI KERANA JIKA SEKIRANYA BELIAU TIDAK BERSAMA MEREKA, SUDAH TENTU BELIAU TIDAK AKAN BERSAMA DENGAN ORANG LAIN. SEMENTARA SAUDARA-SAUDARANYA, SEKIRANYA TIDAK BERSAMA DENGAN BELIAU, MEREKA TENTU AKAN BERSAMA DENGAN ORANG LAIN. SESUNGGUHNYA SERIGALA HANYA MEMAKAN KAMBING YANG TERPISAH DARI KUMPULANNYA. ORANG MUKMIN DENGAN ORANG MUKMIN YANG LAIN DIIBARATKAN SEPERTI SATU BINAAN YANG SALING KUKUH-MENGUKUH DI ANTARA SATU SAMA LAIN.
FIRMAN ALLAH:
MAKSUDNYA : “ORANG MUKMIN ITU LELAKI DAN WANITA SEBAHAGIANNYA MENOLONG SEBAHAGIAN YANG LAIN“.
SIKAP BEGINILAH YANG SEPATUTNYA WUJUD DI DALAM DIRI KITA.
KETERANGAN:
Pengertian Ukhuwwah:
Ukhuwwah merupakan satu anugerah Allah yang diberikan kepada hamba-hambanya yang ikhlas dan penolong-penolongnya serta tentera-tenteranya yang membersihkan jiwa mereka untuk Allah.
Firman Allah :
Maksudnya: “Dialah yang memperkuatkan kamu dengan pertolonganNya dan dengan para mukminin dan menyatukan hati-hati mereka. Sekiranya kamu belanjakan semua (kekayaan) yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukannya. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana“. (Surah Al-Anfaal: 62-63)
Ia juga merupakan kekuatan iman yang mewarisi perasaan yang mendalam dengan sifat kasih sayang, lemah lembut dan hormat-menghormati dan saling percaya-mempercayai di antara kita dengan setiap orang yang mempunyai hubungan aqidah tauhid dan manhaj Islam yang abadi. Sifat-sifat berikut lahir di dalam hubungan tersebut iaitu: Tolong menolong, mengutamakan orang lain dari diri sendiri, kesihan belas, pemaaf, bertoleransi dan bantu-membantu. Ukhuwwah juga merupakan satu perkara yang melazimi iman: Tiada ukhuwwah tanpa iman dan tidak sempurna iman tanpa ukhuwwah. Begitulah juga tidak ada persahabatan tanpa taqwa dan tiada taqwa tanpa persahabatan. Adapun tiada ukhuwwah tanpa iman, ini dijelaskan oleh Allah S.W.T di dalam firmanNya:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara“. (Surah Al-Hujuraat: 10)
Dalam ayat yang lain Allah S.W.T menjelaskan bahawa tiada persahabatan tanpa takwa. Firman Allah :
Maksudnya : “Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa“. (Surah Az-Zukhruf: 67)
Seseorang itu tidak akan dapat merasai kemanisan iman melainkan apabila dia mempunyai sifat ukhuwwah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
Maksudnya: “Tiga sifat sesiapa yang memilikinya, sesungguhnya dia dapat mengecapi kemanisan iman: Hendaklah dia menyintai Allah dan Rasulnya lebih dari yang lain, mengasihi seseorang kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam neraka“. (Fathul Bari: 1/7 no: 16)
Kedudukan rukun ukhuwwah:
Allah s.w.t telah memberikan gambaran yang istimewa untuk ummat Islam sebagaimana firmannya :
Maksudnya: “Muhammad itu adalah utusan Allah dan sahabat-sahabat yang bersamanya bersifat keras terhadap orang kafir, berkasih sayang sesama mereka, kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya. Tanda-tanda tersebut kelihatan pada muka mereka kesan dari sujud“. (Al-Fath: 29)
Inilah penjelasan Al-Quran, sesungguhnya ia menjelaskan kepada kita kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepada RasululLah dan pengikut-pengikutnya. Mereka bersifat keras terhadap golongan kufur walaupun ke atas bapa-bapa, sanak saudara atau pun anak-anak mereka. Mereka berkasih sayang sesama muslim. Inilah ukhuwwah yang sebenarnya, ukhuwwah bersandarkan agama. Di sini jelaslah bahawa sifat keras itu adalah kerana Allah dan kasih sayang juga adalah keranaNya.
Maksudnya: Dari Abu Malik Al Asy’ari r.a: Bahawa RasululLah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya di kalangan manusia terdapat mereka yang bukan dari golongan anbiya’ dan bukan juga syuhada’. Mereka dicemburui oleh para anbiya’ dan syuhada’ kerana kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah. Sahabat-sahabat bertanya: Siapakah mereka wahai RasululLah? Sabda baginda: Mereka adalah golongan yang berkasih sayang kerana Allah tanpa ikatan silaturrahim di antara mereka dan bukan kerana harta. Demi Allah sesungguhnya muka-muka mereka adalah cahaya dan mereka berada di atas cahaya. Merasa tidak takut ketika orang lain merasa takut, dan mereka tidak bersedih ketika orang lain bersedih. Lalu baginda membaca firman Allah S.W.T:
Maksudnya: “Ketahuilah sesungguhnya penolong-penolong Allah itu mereka tidak takut dan tidak juga bersedih hati“. (HR riwayat Ahmad: 5/343 dan ayat dari surah Yunus: 62)
Maksudnya: Imam Malik telah meriwayatkan daripada nabi s.a.w, baginda bersabda Allah s.w.t berfirman: “Telah wajib kecintaanku bagi orang yang berkasih sayang di jalanKu, yang berhimpun keranaKu, yang saling ziarah menziarahi dijalanKu dan saling berbelanja di jalanKu“. (Al-Muwatta': 2/954 – Kitab Asy-syi’r – Bab: Menerangkan tentang kelebihan orang berkasih sayang kerana Allah)
Imam Muslim pula meriwayatkan daripada nabi s.a.w: “Bahawa seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di sebuah kampung, semasa dalam perjalanan Allah s.w.t. mengutus seorang malaikat kepadanya. Apabila mereka bertemu, malaikat berkata: Kemana saudara hendak pergi? Jawab lelaki itu : Aku ingin menziarahi saudaraku di kampung ini. Malaikat itu berkata: Adakah kerana kesenangan yang kamu dapat daripadanya maka kamu berusaha memelihara hubungan tersebut. Jawab lelaki itu: Tidak, melainkan aku mengasihinya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku ini utusan Allah kepada kamu dan Allah telah mengasihi mu sebagaimana kamu mengasihi saudaramu keranaNya“. (HR Muslim 4/1988 no: 2567)
Di antara keistimewaaan jamaah Ikhwan Muslimin daripada jamaah-jamaah yang lain ialah sifat ukhuwwah kerana Allah yang sebenarnya. Tahap ukhuwwah itu kalau tidak sampai ke peringkat ithaar (mengutamakan orang lain dari diri sendiri) sekalipun, maka ianya adalah yang paling hampir ke martabat tersebut di sudut pratikal dan realiti. Kefahaman ukhuwwah filLah adalah di antara faktor penting yang menetapkan jamaah Ikhwan di dalam menghadapi tribulasi dan ianya salah satu sebab kekuatan jamaah ini. Sebahagian manusia menyangka nilai ukhuwwah itu boleh dilemahkan atau dihancurkan. Walaupun mereka dibunuh, namun ukhuwwah tetap menjadikan saf ini bertambah tinggi dan teguh.. Kadang kala berlaku perselisihan dan pertentangan pendapat di kalangan mereka tetapi suasana ukhuwah yang telah ada tetap berkekalan dan tidak tercemar sedikit pun. Kadang-kadang syaitan datang melemparkan was-was kerana dia amat benci melihat manusia bersatu di bawah satu pendapat. Oleh itu dia sentiasa menghasut manusia supaya berpecah belah. Allah telah memberi peringatan di dalam hal ini dengan berfirman:
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu: Hendaklah mereka mengucapkan perkatan yang lebih baik. Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia“. (Surah Al-Israa': 52)
Al-Imam asy-syahid telah pun mengariskan martabat-martabat ukhuwah, beliau berkata: Martabat ukhuwwah yang paling rendah selamat jiwa terhadap saudara seIslam dan martabatnya yang paling tinggi ialah mengutamakan orang lain dari diri sendiri. Peliharalah sikap berlapang dada terhadap saudara-saudaramu dan bermujahadahlah bersama sahabat-sahabatmu untuk sampai ke tahap ithar. Cuai atau meninggalkan rukun ini, samalah hukumnya dengan meninggalkan jihad yang menyebabkan akibat yang buruk. Sekiranya seorang individu itu tidak memiliki martabat ukhuwwah yang paling rendah, maka bermulalah perpecahan dan pertelingkahan serta ianya membuka jalan kepada kekalahan. Firman Allah:
Maksudnya: ” Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatan“. (Surah Al-Anfaal: 46)
Tepatlah apa yang dinyatakan oleh Al-Imam asy-syahid kepada Ikhwan: “Berkasih sayanglah sesama kamu dan peliharalah ukhuwah kerana ianya rahsia kekuatan dan kemenangan kamu. Hendaklah kamu berterusan di dalam keadaan demikian, sehingga Allah datangkan kemenangan bagi kamu dan agamamu. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi kemenangan“.